Kekecohan berlaku antara segelintir penyokong BG Pathum United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas aksi peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) antara kedua-dua pasukan semalam.

JDT berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 4-2 sekaligus meraih kemenangan pertama dalam saingan musim ini dan perkara ini nyata tidak disenangi oleh sekumpulan penyokong BG Pathum yang hadir ke Stadium Leo pada aksi semalam.

Menurut perkongsian Majoriti, pergaduhan antara penyokong kedua pasukan berlaku selepas perlawanan dimana dalam video tersebut, terdapat beberapa objek yang dibaling.

Malah, terdapat juga insiden yang mana penyokong salah satu pasukan menggunakan suar dengan niat mencederakan lawan ketika pergaduhan sedang berlangsung.

Bagaimanapun, video yang berdurasi kurang daripada seminit tersebut turut kedengaran sebahagian pihak cuba memanggil penyokong daripada kalangan ultras JDT, Boys of Straits (BOS) untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak mengenai pergaduhan yang berlaku dan belum diketahui ada penyokong yang mengalami kecederaan atau sebaliknya.

Pada perlawanan semalam, tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kelima selepas pemain pertahanan, Victor Cardozo dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Sepakan tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, Mohammed Abdulla Hassan Mohamed berikutan kekasaran dilakukan Shane Lowry terhadap Danilo Almeida Alves.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan tidak sampai seminit setelah Arif Aiman Mohd Hanapi merembat masuk bola dalam kawasan penalti hasil hantaran jauh ketua pasukan, Jordi Amat.

JDT berada dihadapan ketika aksi memasuki minit ke-14 apabila gerakan baik dilakukan Heberty Fernandes memberikan ruang seluas-luasnya buat Bergson da Silva untuk meledakkan rembatan yang melepasi celah kaki penjaga gol BG Pathum, Chatchai Budprom.

Aksi bertambah menarik pada babak kedua dengan corak permainan saling berbalas serangan serta tambahan tiga gol lagi dapat disaksikan.

Penyokong JDT terus melonjak kegembiraan pada minit ke-52 selepas Juan Muniz melakukan percubaan susulan yang menewaskan Chatchai untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Victor mengurangkan defisit jaringan berselang tiga minit kemudian apabila beliau menanduk masuk bola hasil hantaran berkualiti Chanathip Songkrasin.

Arif Aiman kemudiannya menjaringkan gol keempat pada minit ke-78 apabila pemain sayap lincah tersebut melakukan percubaan leret yang berjaya sekali lagi menewaskan Chatchai untuk gol kedua peribadi buatnya.